Friday, November 30, 2007

tentang cubaan menyanyi beriya-iya

hari rabu lepas, tidak ada apa sangat terjadi. stok mesin pengering sudah sampai. aku ambil dari kontraktor rumahku iaitu emkay land, tapi dengan sedia maklumnya aku tak mampu membikin sendiri mende2 kejadah itu.

bukan aku tak reti, tapi berat mesin itu lebih 5 kilo, dan harus digantung ke dinding. gile ke hapa bikin sorang2?

dengan begitu tidak malu, aku mengerah pok cham untuk membantu.
hahaha. gelak besar. aku upah rokok sekotak, sekali dengan kasih sayang seperti makcik2 yang meneman anak bujangnya main gitar, sambil dia melipat baju. *memang aku lipat baju pun*

selesai pemasangan oleh pok cham yang hebat *pujian membodek dan terima kasih kerana diri tak mampu membayar upah*, aku hantar pok cham ke pandan indah semula. dalam perjalanan, zac dari band komplot telefon, bertanya sama ada aku percuma malam itu. ada recording.

situasi satu:
zac komplot bekerjasama dgn produksi baru menerbitkan soundtrack filem Hey Luna. aku akan di feature dalam satu lagu mereka, sekali dengan lagu solo aku sendiri dalam album soundtrack itu nanti. kelakar. aku sesungguhnya bukan penyanyi. sekadar pemuisi yang punya suara lantang.

situasi dua:
adik aku (achik) datang dari kota tinggi kerana ada urusan kerja di putrajaya. aku perlu jemput beliau dan bawa ke rumah kawanku jannah kerana dia menyewa di sana. nak ulang alik dari damansara ke putrajaya tidak berapa seronok kerana harga minyak dan tol yang agak ekstrem untuk dompet aku minggu ini.

situasi tiga:
kalau aku pergi jamming, aku mau bawa pok cham. sbb bila lagi nak kenalkan dia dengan dunia sebalik tabir. kesian dia, mesti boring kalu aku takde. *perasan best pulak. haha* tapi malas pula mau berbalik2 hantar dia, tambahan pula achik ada. takut malu2 pula. dia bukan seperamah aku. dia pendiam jika tak kenal, seperti abah. aku persis arwah mak yang ringan mulut.

konklusinya, aku hantar pok cham, achik dijemput along, aku pergi recording sorang2. ha-ha. betapa tuhan telah uruskan plan kita.

sesi recording memang memeritkan. satu baris, cut. satu baris, repeat. serabut. suara aku tak keluar. jadi kayu. terasa macam mia dlm anak pontianak. dem. tambah pula zac ada berkata: "fynn, kau wakil gadis2 underground! jgn kasi malu! kau kan rokstar!!"

aku? disebut otai underground sbg satu dr mereka. dem. pressure aku. selama ni aku sekadar pemuisi tepi jalan. selama ni antara kawan2 saja yang panggil sebegitu. teruja.

di tengah2 sesi recording aku hampir putus asa. aku katakan pada zac mungkin aku tak patut barada di situ. mungkin aku bukan yang dicari. yang sesuai. tapi zac katakan dia telah datang di persembahan2 aku dulu, dan dia tau performasi pentas aku. dia meneka gemuruh aku yang jadi punca. disekolahkan sekejap aku yang masih tak pasti ini.

aku diam. ada gitar di tepi zac. aku minta dia mainkan lagu apa2.
dan aku menyanyi.
terus menyanyi.

puas. sekarang aku tau apa kryptonite suara fynn jamal: recorded music.

aku tidak bisa menyanyi jika bukan live. tiada feel. zac terusan beri perangsang untuk teruskan projek ini. semangat aku kembali. bila agak lewat, aku simpan lagu yang telah direkod-baru, untuk latihan di rumah.

aku keluar studio tah jam berapa. pok cham sms: kunci rumah aku padanya. aku turun ke uptown gombak kerana dia dan dua orang adiknya sedang melepak di situ. ambil kunci, minum air segelas, terus ke putrajaya.

malam itu aku tidur begitu lena.

keesokan harinya, pok arm sms di pagi hari, maukan thumbdrive yang aku pinjam tempoh hari. kayuh aku ke sentul. tapi aku singgah dentistry dulu. bikin scaling dan fix a tooth fracture. sakit yang ampun. tersentak2 aku di katil rawatan. walaupun sudah disuntik bius di gusi. dem2.

selesai itu, aku ke rumah pok arm. seperti aku jangka, aku yang tek reti berbual. entah. kekok. tak tahu apa yang mahu aku bualkan. pok arm pun nampak ketat. bual2 ada, tapi tak semesra dulu. mungkin kerana ini pertama kali bersua setelah sesi sms2 dua hari lepas. baik aku diam. aku lepak dalam 35 minit, transfer lagu. kemudian pulang.

sayang betul. apa dah jadi dengan persahabatan ini. tapi aku sudah tekad mahu kontrol frekuensi. jadi harus ikut janji sendiri. life masing2, bukan?

sesudah jumpa pok arm, aku singgah rumah abang pok cham. lepak2 minum air di kedai bawah, aku pulang ke putrajaya kembali. telefon aku mati kerana baterinya macam haram. pok arm telefon pok cham kerana mahu menghubungiku yang tiada connection lagi.

tiket james morrison yang berharga RM300 setiap satu untuk aku dan pok arm, hadiah dari ezane. aiseh. mahu sekali!! tapi nak bersiap lagi, nak salin baju lagi. aku cuma diberi masa 30 minit untuk bersiap, sedangkan aku di ampang, rumahku di damansara. dem dem dem.

akhirnya pok cham saja yang pergi sama pok arm dan ezane. mesti seronok.

sampai putrajaya aku terus tidur, membayar hutang kepenatan pada diriku yang hectic sejak malam kelmarinnya.

Wednesday, November 28, 2007

tentang kehidupan aku yang normal

semalam bangkit tengahari. rumah yang sepi. life yang hambar. sabar, fynn, sabar. minggu depan kau akan mula berkarier semula. akan dipenuhi kembali.

balik normal.

apa yang normal? aku workaholik sepanjang ingatan aku tentang kerja. ketika belajar dahulu, aku susun kelas dari jam 8 hingga 3. jam 4 aku perlu ke rumah2 orang, kerana aku tutor pribadi anak2 kaya. berhenti sekejap jam 7. di jam 8 aku ke rumah orang lain intuk tutoring lain.

hari2, isnin hingga sabtu.

tamat belajar aku tidak bercuti, kerana pelajar2ku punya peperiksaan negara.

kerja pertama aku (selepas gap seminggu dari country exam pelajar2), adalah event korporat internasional, yang mana aku adalah eksekutif projek. dalam erti kata lain, dari cacai bancuh air, sehinggalah berhubung terus dengan tan sri2.

jam 10 malam adalah waktu yang paling biasa aku tiba rumah.

aku berhenti job ini selepas setahun, sebaik pulang dari satu event di beijing. aku bina keputusan itu kerana alasan ini: aku tak mahu pekerjaan yang akan membatas masa qualiti aku dan anak2 aku nanti.

sayang memang sayang. gaji yang lumayan, pakej percutian setiap kali event. tapi au lebih sayangkan bakal anak2 aku, dan terutama, sang suami akan aku berikan air tangan aku dalam setiap makanannya.

ini mmg aku. tradisional dan konservatif di fikiran.

aku berhenti kerja itu di hari khamis, dan hari isnin aku mula bekerja di Cempaka International School. guru speech dan drama.

kepuasan yang teramat kerana aku berani katakan aku adalah guru kesayangan setiap seorang anak murid di situ. terima kasih pada abah, aku dikurniakan bakat entertaining seperti beliau. terutama pada anak2 kecil.

tapi tidak lama. kerana kebangsatan iri hati sang guru2 lain. aku dicalit 'rebel' di kepala sejak hari pertama aku di situ. dan aku dikatakan bakal menjadikan anak2 menteri itu, anak2 manusia terkaya di malaysia, anak2 expatriate, kepada songsang dan membelakangi disiplin.

aku terasa seperti karektor guru2 hebat di layar perak: michelle pfeiffer dlm dangerous minds, antonio banderas dalam tak the lead, takeshi sorimachi dalam GTO.

aku mau menjadi Ron Clark, guru terhebat dalam sejarah dunia. dan dia masih lagi tersohor. sila google jika kau mau tau siapa dia.

hari2 di sekolah itu aku terima hadiah. dan seperti biasa aku perlu sembunyikan kerana tidak mau dirampas. aku dituduh memeras pelajar. haih! aku taulah aku orang miskin, tapi tak perlu aku mintak2, lah!!

aku suka mengajar. my passion is in teaching. i was born to teach.

tidak cukup setahun aku berhenti. telefon dari ibu bapa2 dan anak2 yang menangis ada masa memecahkan kekuatan diri. tapi aku tidak bisa lagi. bukan aku mahu sangat berhenti. tapi elok pula ada tawaran menjadi pensyarah di kolej SEGI. aku akan naik dan terus naik. kerana azam aku untuk menaikkan taraf hidup telah aku sematkan: sebelum 30 tahun usiaku, aku akan buktikan pada semua aku akan berjaya.

budak gemuk yang kau tujal2 dulu, yang kau hina2kan, adalah jauh lebih bagus dari engkau yang hanya tahu membuli.

manisnya dendam.

dua minggu selepas itu aku mula menjadi pensyarah, dalam usia belum 25 tahun. aku berbangga di setiap kali orang tidak percaya apa kerjaya aku. kerana bajuku yang biasa2 dan mungkin kerana gaya aku yang sangat bersahaja.

aku hanya sempat bekerja dua bulan di SEGI, bila universiti tempatan mengkhabarkan aku bakal mensyarah di tempat mereka bila2 masa. bagus. kerja kerajaan. gaji swasta.

anak2, mummy akan masak breakfast kalian, kita akan makan sama untuk dinner. papa will be home tak lama saja lagi. dia perlu kerja lebih, kan?

aku tidak mahu terburu2 lecturing. kerana aku mahu mula selepas aidilfitri tempoh hari. dalam pada itu, aku dapat job berlakon dengan shuhaimi baba. aku mahu merasa. dan sehingga kini aku masih terasa bahangnya berlakon.

ada sahaja yang kenal. seronok. tapi maaf, itu bukan life pilihan.

minggu depan aku jadi pensyarah sebenar.
minggu depan aku mulakan hidup baru.

aku ingat lagi ketika sang rektor yang menemuramah di peringkat ke 5, dia bertanya:

in two years time, you've been skipping from jobs to another. what makes you think you can stay here in IIUM for long?

sir, all i can say is that i hopped not in one spot, and i skid my way up just so my students know they should go further everytime chances come. i am taking that chance i've been telling my students to grab. if i let them slip, tell me sir, how can i ever say wise things to them ever again?

sampai mati aku takkan lupakan sesi interview itu.

i found peace in teaching.
i found happiness in the smiles of my satisfied students.

malam tadi aku tidak lagi memikirkan tentang kawan2. aku masih teman mereka, tapi aku mahu jadi aku yang dulu. normal. tidak mempeduli selain pelajar2 aku. aku tidak mahu terlalu rapat, terlalu cenderung.

semua orang sama. tidak perlu layanan lebih2. aku punya hidup sendiri. aku patut jaga.

aku tidur malam tadi tidak sabar mahu bangkit di minggu depan.

Tuesday, November 27, 2007

tentang memutuskan persahabatan erat, dan biarkan ia sekadar biasa.

aku tidak mahu lagi masuk campur hal kawan2.

terima kasih pada naluri poet aku yang rebel dan gemar voicing out wutever aku rasa, aku rasa pok arm akan mula menjauh dari diri aku. dan pok cham, wingman terapat beliau, pasti akan menyebelahinya.

bodoh bodoh bodoh.
akulah itu.

ingatkah pada sue richard? aku pernah menulis tentang gadis itu dahulu. kini aku dah tak mahu peduli.

aku lebih rela diamkan prediksi aku (yang jarang silap: kerana aku analitikal), dari kehilangan dua orang manusia yang aku sayang: pok arm dan fatin.

semoga kalian bahagia. dengan siapa pun jodoh kalian.

aku memutuskan untuk tidak lagi observasi teman2 rapat. kerana ini begitu membahayakan. sangat. tersangat bahaya.

contoh termudah: berapa orang yang percaya tukang tilik? bila datang seorang itu memberitahu hari engkau akan menjadi begitu indah, kau pasti berbunga2 sepanjang hari. bila diberi omen beraura tidak cerah, kau akan maki2 katakan kurafat dan lain2.

cuba pula kau bayangkan tukang tilik itu adalah kawan kau sendiri.
mahu bertumbuk, aku rasa.

maka di sini, aku ingin luahkan rasa maaf dan kesal pada kamu, pok arm dan fatin, juga sue jika kau baca:

maaf. semoga kita kembali menjadi kawan2 surface seperti biasa.
kawan2 yang tidak perlu bualan dasar.
sekadar surface konversasi.

aku sedang menutup jiwa untuk persahabatan,
seperti dulu2.

kerana aku mmg tidak pandai berteman. maka perlu apa aku berpura bijak?

tamat konfesi hari ini.

----

dua tiga hari ini aku begitu sibuk. ahad lepas, pulang ke muar, balik hari, semata untuk makan nasi minyak Bendul, teman aku dan amy di universiti dulu. lepas sudah engkau, burn. aku ni bila ntah. pergi bersama amy. macam terasa seronok juga lama tidak berjalan jauh berdua.

sudah terlalu lama.

sebelum pulang ke KL, singgah ke rumah atok. cuba baju2 kurung yang moksu jahitkan untuk kerjaya baru minggu depan. aku lupa mahu cerita, aku bakal menjadi pensyarah di universiti tempatan bermula disember ini.

aku mahu pakai tudung. bila haa? tapi aku tamau pakai tudung semata pakai tudung. aku mau betul2. bukan bertudung tp nampak segala lurah, semua bayang tubuh. aku mau bertudung, kerana tuhan, bukan kerana abah, tau kerana rambutku yang buruk, atau kerana dipaksa teman lelaki.

uff. terlalu ramai hipokrasi, terlalu menjadi ruji.

semalam tidak ada program. bangun pagi aku dapat sms dari pok arm. dia berbunyi kecil hati dgn kami2 yang terlalu prejudis. dia tidak punya niat pada sue richard. dia tidak memberi janji kepada fatin.

yang kami ini tidak adil.

benar juga katanya. kami tidak kenal isi hati mereka bertiga. so pergilah terlangkup ke apa ke, malas aku amik peduli.

yang penting, aku sayang kamu, fatin dan pok arm.
dan sue richard.

(aku sedang memaksa diri untuk ikhlas)

okay. apa lagi. semalam lepas terima sms dari pok arm, ajak dia makan tengahari. aku risau. dia mcm agak tertekan. takut pula kerana hal remeh kawan2 dia serabutan. aku kayuh kereta yang tak berminyak ke sentul. pok arm mau makan sama di kampung baru.

sampai sana, dia kata dia keluar ke ampang.

aku dan pok cham tetap makan di kampung baru. jauh di sudut hati aku harap pok arm akan datang makan sekali. nyatanya harapan itu bangang.

balik ke flora damansara. baru labuhkan punggung dalam sekejapan (selepas bergotong royong membersihkan bilik kucing dan rumah tuannya), ezane telefon mau belanja McD. haih. makan free lagi. tapi duit minyak takde. hentam je la.

sampai sana lepak sebentar, aku ajak pok arm. tak dapat datang atas sebab2 tertentu. adik pok cham pula yang tiba dengan kereta vios barunya. dem. baru 19 tahun dah beli kereta down payment 25k. duit sendiri. dem dem dem.

aku apa ada? duit minyak pon sangkut.

ezane gerak pulang sebab kerja jam 5 pagi. layan2 adik pok cham borak, kami forward ke KLCC. dia okay. cuma mungkin kerana sudah berjaya di usia itu, dia agak keras bahasanya.

jauh sekali sifat beliau dgn pok cham yang begitu santun.

dlm jam 12 lebih kami ke rumah pok arm. jemput di bawa makan ke suzi's place di ampang. bualan kami hambar. pok arm agak ketat, walau pun dia cuba sedaya upaya untuk bersikap biasa.

aku pun rasa awkward.

yang pasti, aku tau dalam masa terdekat ini aku tidak mungkin rapat seperti biasa dengan pok arm. dia benar2 kecil hati mungkin. terima kasih mulut aku yang lepas. terima kasih bahasa aku yang terus terang.

bodoh bodoh bodoh.
akulah itu.

pulang rumah aku bertekak dengan jiwa. apa yang telah aku lakukan. kenapa perlu aku peduli perkara yang tidak sepatutnya aku fikirkan. pok cham ada benar dalam bualannya; aku tak harus bersikap begini. ini life mereka. kenapa perlu aku masuk campur.

semalam aku tidur dengan rasa fedup dengan istilah cinta.

dan secara halus, aku menanam benci pada dunia yang tak adil, sekali lagi.
seperti dulu.

kenapa aku tidak jumpa lelaki seperti abah lagi?
di mana cinta abadi aku?
tuhan masihkah kau sembunyikan suami aku dari pandangan mata majazi ini?

selamat malam, tentang hari ini, akan aku kabarkan esok.

Saturday, November 24, 2007

she said: "you have to live!"
and he replied: "i have"

from 'magorium's wonder emporium', at the point where mr magorium is telling mahoney he's dying. and obviously she cant accept it.

aku tak mahu cerita panjang hari ini.

satu: kerana aku agak sibuk.
dua: aku akan catch up hari lain.
tiga: filem itu buat aku teresak2 sendirian dalam panggung.

bukan tinggi pun rating filem tersebut aku beri, cuma cara mr magorium menghadapi hari matinya itu yang buat aku terpana.

mati.

yang paling aku fikirkan adalah abah. tuhan, jgn kau ambil cinta hati aku itu, tolong.

assalamualaikum.

Friday, November 23, 2007

tentang pencuri kawan dan gig yang membosankan

masih bangkit dgn tema dan waktu yang sama. kesampahan.

bendul kawen ahad ini. antara teman yang pernah rapat dengan aku ketika universiti. satu sekolahan dengan amy. dia sudah titipkan pesan, jika aku tidak datang, nescaya dia tidak akan mau bertegur dengan aku. merajuk. chet.

aku sms kak lina dari pesona pictures. mahu konfirmasi jadual penggambaran. tiada reply. harap2 aku percuma hujung minggu ini. aku benar2 mahu pergi.

bangkit dari tilam, aku keluarkan baki tepung cekodok kentang semalam. aku basuhkan pinggan2 di dapur, gorengkan cekodok. rutin kami hari2. memandangkan semua sampah belaka, jimat sedikit. hehe.

tonton dvd lagi selepas itu. untung kerana aku ada hampir 1000 keping dvd lama dan baru. maka serasa nostalgik, kami layan filem dulu2. serasa mau tonton yang terkini, ada juga.

ezane telefon, mau ajak lepak. teringin makan kenny rogers katanya. kami terus terang, tidak mampu. dia mau belanja. lagi? dua hari berturut2? gila ke.

pok arm kata dia sunyi. tidak berteman sangat. mungkin dia perlukan kami2 ini untuk menghilang bosan. aku pastikan dia clear yang kami tidak mahu kerana tidak berapa mewah bulan ini. tidak mahu menggunakannya. nyata, dia berkeras. sukatilah.

jam 7 kami gerak ke KLSentral. lepak2 dan makan2 dengan begitu seronok. lapar sangat. sampai diam langsung ketika makan. jam 9.30 nanti drama aku di udara. tapi jam 10 mahu ke laundry bar. ada small gig. aku pilih laundry bar kerana anak pontianak sentiasa boleh ditonton online.

selesai makan, ezane pulang ke rumah kawannya. sempat aku katakan sebelum dia pergi: "jangan kau ingat kami gunakan kau ya" yang mana dia balas: "tidak. aku yang gunakan kalian".

kelakar.
kasihan.

terus ke laundry bar selesai itu. di sana tidak ramai teman2 yang aku kenal. ye lah, biasanya kalau kami turun pun kerana Hujan. aku beruntung mereka sudi menjadi sessionist tak formal aku. dapat pula Hujan sedang meletup2 sekarang. bila kawan2ku berteriak tentang Hujan, aku senyum saja.

tapi tak kurang juga yang selepas Hujan sudah glamour baru terhegeh2 mengaku kawan pada mereka. AG, Dugong, Arm, Noh: adik2 yang sangat menghormati aku. terasa sangat terkesan.

sampai kini, mereka tak berhenti menghormatkan aku. sampai kini yang mereka sudah begitu gah.

terima kasih kerana jujur dan tidak hipokrasi.

di laundry bar itu, yang aku kenal cuma enot dan dua tiga lagi. masuk di dalam, bosan. ada seorang brother siap tidur di tengah2 kebisingan itu. terlalu bosan mungkin. tapi memang amatlah mencabar mata sedar untuk pejam.

maka di tengah2 persembahan aku dan enot mula bergossip.

tentang satu kenalan kami yang rupa2nya hidup dalam dunianya. mengagih dan menjaja kisah2 teman demi untuk perhatian. dan tiba2 ada saja kisah2 yang tercipta di tengah jalan.

yang mana melibatkan aku (bukan satu surprise, kerana sudah berkali2 juga). dan melibatkan teman2 yang lain.

susahlah begini. sang anu itu sibuk mengatakan itu itu tentang aku yang kononnya berubah kerana melangkah ke dunia mainstream. kalau dahulu aku akan bersedih2 kerana percaya katanya2, tapi kini aku sudah tak kalih.

smuanya bermula pada hari dia tunjukkan siapa dirinya. di hari dia cuba membelakangkan teman2 kecy, teman2 aku sampai mati itu dari aku.

kau silaplah.

kenapa hah? carilah teman sendiri. kenapa kau gemar mengatur hidup orang? kenapa kau suka mengungkit kebaikan kau yang sepalit, bila kau mintak2 dibalas selautan?

nasib aku baik kerana yang lain tidak termakan kata cintanya. cuma satu itu terhanyut sedikit. tapi aku tak risau yang seorang ini, yang ku anggap adik ini. kerana dia kuat. dan bukan mudah terabik jiwanya.

harap2 kau selamat, dik.
jangan kau dipergunakan.

untuk yang mengenali si dia itu, termaklum kuasanya yang mendominasi. dia muncul sebagai satu unit yang begitu ramah dan baik. tapi setelah habis bulanmadunya, dia akan mula bertaring bisa.

ah, manusia.

kami tidak tunggu sehingga habis pun gig di laundry. kerana terlalu memualkan. band cosmicspacemonkeys contohnya, sekadar gah kerana faktor2 mainstream: bassistnya adalah vj terkemuka di MTV. lain2, haram jadah.

pok cham dan aku sudah pun di luar (kerana cerita2 aku dan enot yang berlangsung di tangga2 tepi itu). kami sms pok arm, mengajaknya beramb. bagus, kerana dia pun rasa yang sama.

hisap2 sedikit rokok, kami pulang terus ke rumah.

sampai di rumah, pok arm mengajak sesi fotografi dengan t-shirt yang baru kami beli: bertulis iheartKL. comel.

sessi tidak panjang. berlarutan untuk setengah jam saja.

hmmm.. i heart KL. aku cinta kl. benarkah? bukankah aku ini anak johor? kenapa jiwa aku leih selesa di kuala lumpur? tempat orang berlanggar bahu pun tidak terpedulikan? tak seperti di johor yang ku kenal seluruh sepupu sepapat.

mungkin kerana terlalu banyak pahit di sana.
mungkin kerana terlalu senang dengan persona aku yang ku cipta khas di sini.
mungkin kerana aku sudah benci pada kenangan2 yang akan tersembul dengan hanya memandang.

aku anak kuala lumpur.
anak terbuang.
kuala lumpur kan tempat perantau.

selepas fotografi, pok cham layan DVD lagi. aku tak sedar entah bila aku tertidur sepanjang filem itu. mengantuk.

malam tadi aku tidur dengan tidak berperasaan.

Thursday, November 22, 2007

tentang bunda yang aku ingat

semalam hari rabu. bangun, seperti biasa. shooting pun tiada.
yeay. hari sampah.

kalau difikir2, apa kata akar bagi 'menyampah'? memang secara literal, tiada kata akar untuk perkataan ini. tapi sedarkah, ada kemungkinannya datang dari perkataan 'sampah'. ha-ha. kelakar.

maka bila kita menyampah, mungkin ada sangkut paut dgn keadaannya yang sampah.

*aku sedang merapu*

ok. semalam bangkit dan salut planta di atas roti yang dibakar. taburkan gula sedikit atas cadangan pok cham. teringat terus pada arwah bunda. dia suka benar sediakan sarapan roti gula pada kami adik beradik yang sedang bergaduh di meja makan, tiap2 hari sebelum sekolah.

*bukan roti gula yang hari2 disediakan. tapi pergaduhan adik beradik itu yang di setiap hari*

kami mmg menyerabutkan, dari along, aku hingga adik. (kami cuma tiga beradik yang seibu ini). kasihan bunda. dengan kanser yang tak terubat memandangkan zaman itu peratusan survival cuma 20%, bunda begitu gagah menerima segala tekanan.

tapi hari ini aku tidak punya mood untuk bercerita tentang adik beradik syaitan kami. cukup tentang kenangan sedikit dengan bunda. tidak banyak yang aku ingat bersamanya. dia lebih banyak terlantar. wanita paling cantik di kampung, paling manja di tempat kerja, wanita idaman semua: itu bukan kata2 abah. tapi teman2 bunda sendiri, baik lelaki mahu perempuan.

wanita sempurna.

dengan cinta yang tak berbumbung dan terus ke langit, abah dan mak adalah pasangan yang dicemburui kerana berdua, mereka melambangkan satu entiti sempurna.

ada sekali, di satu majlis kenduri di kampung, mak ngah bertanya pada aku: "mana mak abah awak, ngah?" aku bilang "tak tahu". dicari2, rupanya sedang bercinta di belakang pokok. di lain waktu, mereka sedang bermain2 simbah air di tempat basuh pinggan.

cinta mereka sempurna. bukan aku yang kata. tapi yang lain2.

tapi itulah, jika sudah terlalu baik, terlalu cinta, tuhan akan menduga. dia pergi di usia 38 tahun. terlalu baik, sehingga doktor sendiri tidak mahu declare kematiannya akibat terlalu sebak (dan hampir pitam).

bunda seorang jururawat di situ. pesakit2 biasa di wad juga datang ke katil bunda memberi tangis dan salam terakhir.

ketika itu aku baru 11 tahun.

kelmarin aku tonton DVD. ada satu lagu yang buat airmata aku mengalir. Que Sera Sera. versi rnb. itu lagu bunda ketika aku kecil.

when i was just a little girl
i asked my mother what shall i be
shall i be pretty
shall i be rich

this what she said to me:
que sera sera
whatever will be will be
the future's not ours to see
que sera sera

aku takkan mampu lupa suara bunda, dengan tubuhnya yang dicondongkan ke arahku. aku takkan lupa tangisan aku tiap2 malam, kerana dibuli kawan2 di sekolah kerana diri aku yang gemuk dan buruk. lagu itu penawar untuk aku.

aku agak optimis ketika itu. dengan bantuan bunda. maka bila dia pergi, aku tanpa tuju jadi semakin pemendam. jadi semakin keras. mula menulis puisi2 kematian dan kejahanaman dalam usia itu.

aku menjadi pesimis, dan pembenci.

*diam*

bunda, kenapa tidak sekelumit pun aku seperti kamu: yang manis, yang manja, yang halus, yang disayangi semua?

*diam lagi*

kembali ke entri ini. selesai sarapan ringkas, kami hantar arm ke LRT. dia ada job, fotografi red karpet. bagusnya. hidupnya makin okeh dlm bidang ini. job makin banyak. semoga dia semakin hepi.

pulang terus ke rumah kerana pok cham mau membantu gotong royong mengemas. aku selesaikan bilik kucing yang dah bacin. dia selesaikan ruang tamu. habis mengemas, aku gorengkan cekodok kentang. tak boleh makan banyak, ezane sudah telefon mahu belanja TGIF.

lama tak makan TGIF. itu tempat aku dan amy makan bila ada celebration.
dulu.

dlm jam 8.30 pergi ke curve. jumpa ezane. ada kawannya sekali: dua orang. okay. bole masuk. makan2. gelak2. gurau2. macam kawan sendiri. padahal mereka kawan pok arm. kami pulak yang kena tempiasnya.

selesai makan, aku dan pok cham gegas ke KLSentral, jemput pok arm. dia nampak kepenatan. masuk dalam kereta, dia terus bersandar. kami ke hartamas terus, ezane mau belanja pok arm pula. baiknya. tadi kami berlima dah hampir rm300. ni mau belanja pok arm pula. memang untung jadi orang kaya, duit macam air. tapi dia baik. so aku takde masalah.

teman pok arm makan2, tak lama, kami ke sentul untuk ambil baju arm. dia ada interview. harap2 dapat. dia tak kerja dah lama. mesti serabut. kalau aku dah pening kepala gila2. tapi dia kool saja.

habis perkara itu, kami pulang ke flora damansara. pok arm tak terus tidur. mau edit gambar2 artis dahulu. dari tadi puas kami bebel2kan life hartiss2 di sini. tahniah, selamat datang ke dunia saya. dunia fake.

semalam aku tidur dengan perut kenyang gila. harap2 aku tak naik berat badan.

Wednesday, November 21, 2007

tiada fokus.

secara officialnya aku adalah sampah. bangkit selepas matahari dah mula mau turun selama seminggu straight adalah satu kriteria yang terang2an.

dem.

gorengkan setan2 dua ekor tu cekodok instant yang penghabisan. makan tak habis, sebab tak sedap. aku dah bilang, kan, cekodok segera rasa memualkan.

mood aku sudah makin ok. satu: aku dah malas nak fikir, mau tangguhkan serabutan. dua: pok arm pula yang sedang serabut.

mana boleh lima nam orang serabut dalam masa yang sama, bukan? aku kena kuat sebagaimana nereka kuat untuk aku dua tiga menjak ini.

masalah pok arm adalah dia belum bersedia untuk komitmen. dan terlalu banya consequences2 tepi yang memberi tekanan padanya. seolah seseorang itu MESTI mempunya cinta di samping. seolah tanpa memiliki seseorang, kita takkan boleh declare kita sempurna.

bullshit.

kasihan. ada masa aku juga terlibat. biasalah, kawan2 berniat baik. mahu kawan bahagia. tapi mungkin dia lebih bahagia sendiri. benar juga. aku yang punya cinta hati sedang serabutan. kawan2 aku yang lain ada yang pening melayan teman lelaki yang gila perempuan. ada juga yang tertekan kerana berada di ambang putus.

maaf, pok arm. kami2 ini kadang2 terlalu sibuk dengan masalah orang lain.
kerana kami punya 1001 masalah yang mau diperlekehkan dengan memberi fokus pada hal kawan2.

sepanjang hari sekadar melayan DVD dan internet. tiada shooting semalam. mula dengan the last king of scotland kemudian unfaithful. bukan fokus pon. tidur saja lebih.

jam 8 pergi ke kedai bawah untuk beli bebola daging. aku masakkan budak2 ni spaghetti. makan macam biasa. layan movie lagi. kali ni the invisible kemudian borat dan akhir sekali evan almighty.

entry hari ini macam sampah, obviously.
sebab bangun untuk hari yang disia2kan.

aku tertidur ketika movie terakhir. tidur dalam kerugian.

maaf, entri hari ini tidak ada fokus.

Tuesday, November 20, 2007

bekas cinta pertama dan kesrabutan tak bertepi.

semalam aku bangun jam 12 tghari. normal.

aku sms kak lina dari pesona pictures, untuk konfirmasi shooting. tiada. seronok. tapi aku masih tidak punya mood sgt. maka, seronok bertukar jadi rasa macam tahi.

gorengkan anak2 cekodok instant buatan adabi. aku tak berapa minat, sbb rasanya yang muak, kerana terlalu banyak baking powder yang menjadi faktor cekodok itu mengembang. tapi pok arm dan pok cham dah beli, buatkan aja la.

semalam banyak perkara yang memualkan kepala. serabutan sejak dua tiga hari berlipat ganda. aku terfikir2 kata pok cham tempoh hari: kalau semua orang berkata perkara yang sama tentang kita, mungkin ada benarnya.

dan topik kami pada hari dulu adalah "kenapa aku selalu punya masalah dengan hidup aku. aku selalu rasa dunia ini tidak adil untuk aku"

mungkin benar kata pok cham. mungkin masalahnya adalah aku. bukan dunia.

entah kenapa aku tiba2 berkeinginan kuat untuk menghubungi bekas cinta pertama aku. mau bertanya mana silapnya. mana celarunya.

serabutan bertambah2 dan aku mula berasa terlalu distruktif.

rokok yang kuhisap berganti2, dengan hanya selangan 5 minit. sekotak besar sudah hampir habis. apa nak jadi. sudah lah sedang tidak berapa berduit.

aku minta pok cham belikan kubis. ada sedikit ayam, sotong dan daging dalam peti sejuk. aku keluarkan. masakkan kobis goreng cili padi, dan yang lain2nya aku gorenkan tepung.

selesai makan, kepala masih berputar2. serabut serabut serabut.

pok arm terus bermain internet. pok cham melayan lap top pok arm. aku meneruskan serabutan. sekali sekala aku bersoal2 tentang hidup pada mereka. kasihan mereka yang terpaksa melayan. airmata aku tak putus2 mengalir pun mereka biarkan. mungkin mereka faham mood aku yang berayun2.

dalam jam 7 aku pinjam telefon pok arm. aku dail nombor Arul (bekas cinta hati aku dulu) yang aku dapat melalui Ain. Arul dan aku putus dalam situasi yang tidak baik. sudah hampir tiga tahun sejak kami putus, dan aku tidak pernah berhubung dengannya. tiada faktor, ku rasakan. pernah juga mahu menghubunginya, tapi aku hanya berkira2.

namun semalam hati aku kuat untuk cuba mendapatkan suaranya, mau aku tanya apa benar salah aku semua ini?

dan bila talian tersambung, dia mengherdik aku.

kini aku teringat kenapa aku benci padanya.

aku semakin serabutan. aku ambil rokok dan aku meribut keluar rumah. bakar rokok sebatang. menangis mengadap langit di tepi tangga. bodohnya aku. aku mintak amy telefon. aku rasa hanya suara dia yang bisa buatkan aku tenang buat masa ini.

nyatanya bila dia telefon tiada apa yang kami bualkan. cuma tangisan aku yang mengesak2. 15 minit itu tiada perbualan langsung. selesai menangis, aku letakkan telefon.

aku rasa begitu sunyi.

dalam sejam pok arm ckp temannya ezane turun KL, mau melepak bersama. bagus juga. dari aku menyiksa diri di sini, ada eloknya keluar dan bersosial. ketika itu sudah jam 10 malam.

bersiap2 dan keluar ke the curve bertiga. di sana, ezane sudah lama menunggu. borak2 seperti tiada apa terjadi. sampai jam 11.30 aku telefon lagi Arul. mahu habis di situ, malam itu. sukatilah jika tidak mahu berkawan. sekurng2nya aku sudah tidak perlu menahan rasa tidak tenang.

dan seperti tadi, dia masih bersinis: "baru sekarang nak minta maaf?"

aku rasa bodoh. bukan seratus peratus salah aku. dia yang punya perempuan simpanan. dia yang panas baran. dia yang posesif tanpa faktor.

sukatilah. aku letak telefon dengan cara elok, bersalam dan berbahasa. terima atau tidak, terpulanglah.

hilang sekejap mood aku. ezane berikan kata cliche sepatah dua. kemudian aku katakan aku mau pergi menjerit.

semua senyum: Karaoke.

kami ke cineleisure untuk sesi nyanyian jamban. Bayar untuk sepuluh lagu. Menyanyi sepuas2 hati.

jam 1 lebih kami pulang. sebelum tiba rumah, Arul telefon. tone suaranya berubah. lebih kepada memujuk. awal2nya agak awkward. lama juga berbual. diceritakan tentang hidupnya yang kacau bilau. tidak beruntung sejak aku pergi. lama2 timbul rasa selesa. okaylah.

kasihan. itu sahaja. tidak ada sekelumit pun sayang.

aku masuk ke rumah. pok arm mau makan makanan yang ditapau. aku ajak pok cham bicara berdua.

banyak yang dibicarakan. terlalu banyak, sampai aku tak tahu apa yang boleh diceritakan. yang aku ingat, dia nampak begitu matang mlm tadi. begitu tenang dan menyejukkan. dia menyamankan. terima kasih, pok cham. kalu ada hidup panjang, jangan kamu pergi dari jiwa aku. kamu memang mengerti.

tanpa aku sedar, aku sudah pun tidur. tuhan, berikan aku kelegaan, tolong!

Monday, November 19, 2007

tentang cemburu pada rakan kepada kawan2

aku bangun tengahari lagi untuk kali ke berapa minggu ini. semua gara2 shooting lewat tamat, iaitu awal pagi. apa nak jadi. bangun dgn rasa tiada mood. pok cham dan pok arm masih takde potensi nak bangkit. aku rasa macam ibu moden berkarier. balik, anak2 dah tidur. keluar anak2 belum sedar.

ini bukan life yg aku mau.

sampai di pesona bungalow, mereka kata aku perlu bawa baju semalam. shit. makan sekejap, balik semula ke rumah. ambil baju.

patah balik semula macam bodoh. penatnye. sudahlah skuter buleh pergi 20kmj saja. siyal betul.

sampai semula di banglo, jam 3. tunggu bodoh2, jam 5 baru mula shooting. hari ni smua org tak perform. smua ada masalah. dari cameraman sampai pelakon2nya. mungkin sbb exhaustion yang tahap naga. xde life macam bangsat.

selesai scene pertama jam 7. mereka nakkan baju lagi satu. terpaksalah aku balik rumah sekali lagi. budak2 takde. keluar dgn sue richard. cibet.

nyampah sebab:

1) aku berbalik2 ke rumah
2) aku tgh bad mood sejak aku tulis blog yang lepas
3) asik kena maki kat set pasal smua org pun takde mood
4) derang keluar dgn sue richard
5) aku tak suka sue richard

dont get me wrong. aku tak berapa suka dgn sue richard bukan semata2 dia skandal pok arm ((yang mana aku lebih suka dia dgn fatin)), tapi juga kerana dari pandangan mata aku (yang setakat ni jarang silap) sue richard itu agak obviously tak berapa jernih hatinya.

dia sudah ada boy friend kaya raya. kenapa dia berzapin dengan perasaan pok arm.

dan pok arm yang tidak rabun itu membiarkan realitinya kabur. aku tak faham. dia kata masih tidak bisa melupakan cintanya yang dulu. tapi dgn sue richard, dia sanggup melayan, sedangkan fatin yang ada di depan mata, terbiar menahan rasa.

si fatin pon sama bodoh, suka nak jadi heroin hindi, memberi peluang pada orang lain dalam cinta tiga seginya.

sukati korang. *faktor lain adalah, sue richard tidak secantik dan sebaik fatin*
sukati kamulah. yang penting, aku sayang kamu pok arm. jangan kamu terluka sudah.

lepas ambil baju, aku singgah di tempat mereka bertiga lepak. seperti aku sangka, sue richard dgn terang melentok kat pok arm. haih. ingatlah pada teman lelaki engkau, perempuan.

pok cham cuba untuk berborak, tapi aku yang tidak punya mood tidak berapa melayan. sebenarnya pagi itu ketika mahu set alarm di telefonnya aku terbaca mesej yang di beri pada perempuan mana tah. tak tahu kenapa aku rasa membuak.

begini, pok cham dan aku sudah berjanji yang kami akan bercerita tentang segala sesama sendiri. dari dia masih bercinta dengan teman wanitanya yang gila dulu, sehingga sudah putus, sampailah hari ini, semua diceritakan. sama seperti aku yang mengongsi semua tentang amy.

lalu aku bertanya, apa benar dia sudah ada teman baru, kerana aku tidak berminat untuk menganggu jika ada.

dan dia bohong.

untuk kali ke berapa. cakap sajalah. kenapa perlu bohong. bukan kami ada apa2 pun. aku benci dibodoh2kan. kenapa dia perlu berahsia2-rahsia? aku tidak faham.

sama dengan pok arm bila datang hal sue richard. cerita sajalah. kenapa mereka fikir aku ini seperti perempuan lain yang perlu dianak2kan?

aku tidak cukup baguskah untuk menjadi kawan mendengar?

sial benar aku ini. posesif tanpa fasal. siapa aku pada mereka. sekadar teman yang mereka punya. hidup mereka kenapa aku mesti peduli?

maaf, kawan2, aku tidak biasa berkawan.

jam 7.30 aku kembali ke lokasi. shooting tamat jam 5 pagi seperti biasa. aku pulang, arm masih belum tidur. "tunggu fin balik".

comel.

walau pun aku tahu dia gurau, aku rasa kata2 begitu cukup mengharukan. shah ada sekali. layan dvd.

aku baring, memaksa diri untuk tidur. lupakan aja lah. selama ini aku sudah berjaya hidup sendirian. kini, aku perlu belajar berkawan2 sambil merasa sendirian.

aku tidur dengan airmata yang sedikit. apa masalah aku ini, tuhan?

Sunday, November 18, 2007

tentang bualan kopi yang mendamaikan

bangkit pagi serentak dengan pok cham yang mahu pergi kelas. aku harus bingkas pantas untuk ke rumah Sue Anna Joe. dia bertunang. bestnye. bila tah masa aku. aku berjanji dengan tengku sarah memandangkan dia tidak tahu jalan ke rumah anna. sebenarnya aku pun. tapi kalau dia nak ikut, okey juga. ada kawan sesat.

dlm jam 11 pagi kami sampai, rupanya yang terawal. tiah bermalam di rumah anna. dia mengandam dan membantu tentang hantaran2. tak pelik. dia memang miliki jemari kreatif. sentiasa beridea.

melayan anna yang sedang dimekap, berbual2 kosong, catch up apa yang tertinggal. seorang demi seorang tiba. suasana semakin riuh. kami tidaklah rapat per se, tapi kami memang sudah kenal luar dalam sejak bertahun lalu. kawan2 universiti, biasalah. rapat begitu2 saja.

oh ya. nad dan fatin juga ada. bagus juga lihat nad ada fatin. lebih terbaik lihat fatin ada nad. dia tak boleh duduk sendiri. kepala dia adalah mesin. akan auto pilot jika dibiar tak berpemandu. dan bila dia di dalam mood2 preset itu, kelindannya sudah pasti syaitan2 yang membisik kekeliruan. kuat semangat, fatin!

dua2 perempuan itu twisted sedikit kepala hotaknye. macam aku jugak. kena selalu pantau.

majlis anna begitu lancar. cantik dan kemas. tak terlalu beropol2 tapi tidak pula terlalu asal boleh. just nice. kahwin mesti lagi gemerlapan. bestnye jadi orang kaya. macam tengku sarah tahun lepas. kawin simple tapi bila barang tu mmg mewah, terus nampak mantap. nama pun tengku. dia manusia yang sangat humble, looking from her royalties background. dia tuan direktor aku ketika pementasan teater aku yang pertama. sampai mati tak akan aku lupa. antara manusia yang pernah berkata "i believe in you, fynn"

sessi bergambar memang antara fasa yang paling seronok semalam. dengan semua kepala bengong. oh begitu comel2. dah besar dah semua. sekor2 membilang hari, jika ada teman. tak kurang bermenung mengira dateline kerana tidak punya teman langsung.

aku? aku redha saja.

tak sempat jam 12.30, selesai makan2, aku minta diri kerana ada shooting jam 3. kelakar kerana ada makcik2 anna dan tetamu2 lain yang cam muka aku. "hasni! nak bergambar please".

comel.

yang lebih best, kak lyza dan dodgy dari KLMot ada. mereka nampak smua tu. bergambar dengan peminat2 kecil. rasa puas (bukan dari segi bongkak), tp rasa mcm mahu toleh dan kata: "siapa kata aku tidak ada harga, mereka suka aku biarpun aku tidak cantik dan gigi aku tidak rapi dengan braces."

pulang ke rumah, berbaring2 sekejap. PMS mengganggu lagi. tuamkan air panas. lebih kurang jam 2 kak nisa dari pesona pictures telefon suruh datang. ready to roll.

shooting seperti biasa takde masalah dengan mereka. terus penggambaran sehingga lewat mlm. dalam pukul 1 pagi begitu lepak dengan krew: angah dan abang rashid. sementara tunggu scene aku. berbual dari hal2 remeh sampai yang berat. bab agama juga keluar. indahnya cinta tuhan, aku mmg suka berbual begini. dari berbicara hanya perkara kosong dan sampah.

hey, aku juga suka borak bangang. tapi ada masa perlu diisi sang akal.

beberapa kali dipuji lakonan aku, ada juga diselit kekaguman mereka pada karektor aku di realiti yang kuat. cuba seboleh2 menutup rasa terharu. terima kasih kerana memandang jiwa aku, kawan2. berbual lama membibit rasa percaya untuk bercerita, maka mereka buka sedikit2 hijab rahsia. terasa kerdil diri aku ini. mendengar permasalahan mereka, aku rasa beruntungnya aku ini hidup menjadi aku ini.

ayat yang membuat aku hampir menitis airmata, dari bibir abang rashid, yang mengingatkan kembali kata2 guru di sekolahan: "tuhan itu di setiap inci badan kita, dalam nafas, dalam semua" (sambil dia hembus dan tarik nafas berkali2 sekuat2nya)

siapa sangka dia bekas banduan.

cantiknya keinsafan. lebih seksi dari lelaki2 di luar sana. tiba2 aku rindu amy. teman lelaki aku itu begitu kuat bertahan dengan aku ini. aku rindu bualan2 berat kami. tentang hidup. tentang dunia. tentang jiwa. tentang keluarga. tentang cinta: ada tapi tidak beriya. sekali sekala.

tiba2 teringat bagaimana terhasil putik cinta aku pada dia.
kerana kematangannya.
tiba2 terfikir betapa gagah memasak kaki di sebelahku.
tidak pernah di depan. tidak juga di belakang.
tapi di sebelah.

tiba2 aku sebak memikir apa sudah jadi.
di mana fynnhelmy.
(pada nama juga aku didulukan)

cinta kami abstrak. hanya kami memahami.

*diam dan memandang langit*
biarlah.

aku pulang semalam jam 4 pagi. tiba di rumah terus melayar internet. tidak boleh tidur. selesai azan subuh aku baring di tilam empuk. berbicara sendiri. berbisik pada telinga aku, cukup sekadar aku mendengar. memujuk jiwa.

terlalu banyak hati yang perlu aku jaga. persoalannya bagaimana. hati aku ini sudah kehancuran.

aku masih ingat zikir aku pagi tadi:
tuhan, aku mahu bangun dalam dunia
yang mana hanya ada aku dan dia
berdua selamanya.

berkali2.

aku pun tidak pasti dia itu siapa. cuma aku mahu bangkit dalam dunia yang hanya ada aku dan dia, dan aku mahu rangkulkan nyawa aku pada kepercayaannya, mahu gantungkan setiap kehancuran pada bahunya agar dapat diringankan.

siapa2 saja dia, suami aku nanti.

berkali2. sehingga tertidur.
pagi tadi aku tidur dengan rasa kekeliruan tentang apa yang aku mahukan.

lensa pok arm dan peminat hasni.

daripada awal pagi, pok arm sibuk tanya berkali2; fynn dah okey perut? sakit lagi tak?

boleh dikatakan selang setengah jam. comel. macam anak kecil yang dijanjikan basikal baru. selagi tak dapat, asik menyebut.

nasib baik kerana PMS semakin kurang. maka aku setuju untuk meneman pok arm dan pok cham ke amcorp mall. pok arm tekad mau lense untuk Joni (SLR tercintanya). harganya, sila maklum, 2.5k. bijak benar dia berjimat dan mengurus bajet. arm mmg matang sedikit, atau mungkin kerana tampilnya yang keras.

muka saja ketat, hati dia lembut tu.

tergerak untuk bawa bobby, ular sawa peliharaan aku bersama. lama sudah tidak ku bawa berjalan. seronok melayan kerenah orang keliling tiap kali melihat bobby, yang mana pada setiap itu akan aku terangkan pada semua betapa ular itu sering disalah anggap.

mcm biasa, hanya beberapa orang saja yang percaya. tak ramai mahu pegang, berlambak yang cuma menenyeh2, ada juga yang aku tak izin pegang (gayanya terlalu berani, menakutkan. ular itu asalnya liar, takkan jinak walaupun dengan tuan).

berlegar2 di amcorp mall dalam sejam lebih. tidak terus pulang. pergi ke belah chow kit untuk makan. kelakar, pelayan2 cam muka aku. sungguh comel. terasa sebentar seperti selebriti. walhal lakonan picisan tepi2 skrin. *senyum sendiri*

sudah makan, arm cadangkan eye on malaysia. kali terakhir aku ke situ adalah bersama keluarga. rindu pula pada abah dan ibu. juga adik kecil yang akan mendaftar darjah tiga tahun hadapan. serasa baru semalam aku salinkan lampinnya. ah, anak kecil kadang2 mahu aja aku jerukkan, agar tidak membesar.

sessi fotografi berjalan dengan meriah seperti biasa walaupun cuma tiga orang. PMS datang pergi. risau benar mereka berdua. kesian pulak. aku cuba sebaik mungkin untuk berlaku santai. sakitnya tuhan saja yang tahu.

sedang di situ, ada sekumpulan remaja sekolahan mengerumun. semua gara2 bobby. dia memang star. siapa tak suka bobby. kalu ada pun, geli mahu pegang. tiba2 seorang darinya berkata: eh, itu kak hasni!!

kelakarnya. hasni nama aku dalam siri drama yang aku terlibat. ada juga malu2, tapi aku keraskan diri. entah. tidak reti. puas bobby bergambar, aku pula bermodel sana sini. seronok melayan kerenah anak2 kecil. macam filmstar.

selesai itu kami pulang ke rumah. seperti biasa, sampai di pintu kami bertiga semua terjerit2 mahu chop turn main internet. aku menang dengan alasan PMS dan tak mau lama. mmg tak lama pun, sekadar update blog semalam.

pok arm tanya blog tulisan aku, dia tidak tahu. seganlah mau beri. ini tulisan bodoh2. sekadar coret2 untuk muhasabah diri tentang kosongnya hidup aku ini yang kurang pengisian ketuhanan. hidayahkan aku, tuhan. aku mau bangkit dari jahil ini.

tidak lebih 20 minit, internet bertukar jari. aku baring terus di katil. pok cham datang memberi sebotol air panas untuk aku tuam di perut. baiknya. lega sakit aku sedikit. aku sudah biasa ke hospital semata masalah ini. tuhan, berikan aku kekuatan untuk terus gagah.

aku terlalu lapar, aku minta pok cham turun belikan char kuay teow. biasa aku masak. tapi bila sakit, kirim salamlah. rasa tidak berapa sedap. kecewa. asal boleh saja. tak baik tau makcik. saye takkan beli lagi dari kedai makcik.

makan bertiga, gurau2 seperti selalu, layankan bualan, tahankan pedih di ulu hati. mengantuk pula.

entah bila mata dilelap, tapi aku pasti aku tidur dengan airmata sedikit, aku begitu sakit.

Saturday, November 17, 2007

PMS yang nyaris membunuh blog ini

gila babi. baru dua tiga hari tidak menulis, aku rasa seperti tak siap assignment 15 mukasurat yang mesti di hantar esok pagi. dem.

salahkan segalanya pada PMS.

aku memang ada masalah dengan organ peranakan dari sekolah lagi. mungkin kerana arwah bonda yang meninggal dek kanser (sekali nendaku atas sebab yang sama), sedikit sebanyak aku ini agak lemah imunnya.

aku sudah puas bersoal sama tuhan.
tak mengapalah.

aku sebenarnya tidak ingat hari. berapa hari aku tak naiktarikh (("update": bodohnye bunyik dalam bahasa melayu)) blog puisitepijalan. yang aku tahu, sepanjang hari semalam aku cuma terbaring di tilam depan tv.

futnot: bila arm dan cham datang (atau kawan2 lain melepak), aku suka tidur depan beramai2. macam kat rumah kampung time raya. tidur berlambak. sanggup aku seret tilam ke depan, aku benci tidur sorang2. sama macam aku benci makan sorang2. mcm org takde harga.

sorang2.

dalam sudut hati, aku tau aku sorg2, cuma aku dalam denial, dalam penafian.
pathetic.

aku ramai2kan segala, riuh2kan suasana. aku benci sunyi. sebab aku pemikir, dan aku pessimist. bukan kombinasi yang cantik.

aku sendiri rasa diri aku jengkel.

yang aku ingat, sepanjang hari semalam pok arm keluar. ada urusan. dia semakin berjaya dengan kerjaya sambilan beliau: fotografi. ada sesiapa yang mau jurufoto hebat, pergi pada beliau. KLIK SINI

pok cham aku rasa meneman aku. sambil berinternet. nasib baik ada. aku tidur sahaja. kasihan. dia kasihan aku, dia tak ikut pok arm. sayangnya kat kebaikan mereka, rasa nak lempang.

tengahari datang. pok cham menawarkan diri untuk masak. aku kata boleh. dalam hati aku sudah mula yakin sedikit dengan kebolehan pok cham memasak. kelmarin dimasaknya nasi goreng daging dan sotong. boleh tahan. sebelum ni goreng itu ini jadi separa hangus, tak pun keras itu ini. akibatnya, jadi bahan kena marah je la. kesian betul.

//sesuatu di luar bicara sebentar//

selalu kena marah, kawan2 aku itu. aku ini pemarah. mulut aku bisa. tidak menjaga hati.

*diam sebentar*
aku rasa aku akan jadi ibu yang dibenci anak. aku sudahpun menjadi adik yang dibenci abang sendiri, anak saudara yang dibenci ibu2 saudara.
semua kerana mulut aku yang tak peduli telinga orang.

aku rasa aku tak mungkin akan ada lelaki yang mahu.
semua kerana mulut aku yang tak peduli telinga orang.

susahnya jadi pemuisi. manusia yang memprotes dan bersuara. aku takkan bisa menang politik perhubungan manusia. aku ditakdir menjadi kara. sebatang. se. satu.

sudah biasa mendengar marah keras orang tentang ini, tapi pertama kali aku disinis minggu lepas sahabat rapatku, tentang sikap ini. aku terpana. sehingga hari ini. berkecil hati, seharusnya. tapi biarlah. bukan salah mereka semua tidak memahami aku. aku yang lupa. aku bukan gadis2 luar sana. yang manis dan manja.

maka mula dari hari itu, aku menitahkan akal bermain permainan ini. diamkan. dan terus biarkan. bukan untuk memenangi hati smua orang. bukan. tapi kerana aku ini yang sebenarnya tidak sanggup mengetahui teman2 aku sendiri tidak mengenali siapa nur affina yanti.

tiada siapa akan tahu.

*semoga bila aku mati, baru anda kenali jiwa saya*

benarlah kata orang, cuma ayahbonda yang kenal isihati anak mereka. mungkin kerana itu, sehingga hari ini, mereka masih mendepang dada dan berbangga dengan si angah ini.

mari kembali ke blog, kerana itu objektif site ini.

pok arm pulang awal malam semalam. aku lapar. pok cham masak maggi resepi sendiri. sedap. makan tak habis. sebab masa senggugut mmg aku kurang makan. selesai itu, aku dan pok cham tonton Bad Boys dulu2, zaman Will Smith belum macho, jauh sekali Martin Lawrence yang sangat kudut. sambil itu, pok arm sibuk di komputer.

aku mmg dari dulu yakin dengan rezeki orang bertandang. ekonomi dah mula ok. tak macam minggu lepas. sejak arm datang, smua dah lega sket. yeay.

aku menulis blog ini sekarang sambil dua ekor setan itu bermain laptop atas tilam, bergurau2 selekeh: main kentut2, gelak2 mcm sekolah dulu. macam ni ke hi-school friendship?

aku tak banyak kenangan manis masa sekolah...

bestnya ada mereka. walaupon takde kerja pape, tapi mereka ada. aku tak pernah ada kawan rapat macam ni. dulu masa sekolah aku mangsa buli, berapa kali telan pill, hentak kepala ke tingkap, sebagainya.

tentang hari ini, seperti biasa aku mau tulis esok saja.

senggugut2 begitu pun, aku rasa malam tadi aku tidur dengan senyum, seronoknya hidup ada kawan.

Wednesday, November 14, 2007

PSP rosak dengan Jem di Kolumpo

aku sudah pun bercerita tentang separuh hariku yang semalam. maka hari ini, aku sekadar perlu menulis sedikit: yang selebihnya.

aku masak ayam goreng kunyit, lawankan dengan nasi lembik. curah kicap. lazat. teringat atok yang suka gorengkan ayam buat cucu2nya. masak lah apa saja, lemak cili padi ke, asam pedas ke, nasi lembik tetap lawannya ayam kunyit garing.

sementara masak, pok cham tolong bikinkan skuter brengsek yg buat perangai tak sudah2. ambil PSP sekejap, nak hilang bosan. malangnya tak boleh start. shit. something is going on. rosak. dem. kat tangan aku pulak.

duit duit duit duit.
time tengah miskin la segala nak kena bayar.

selesai makan, kami pergi jemput pok arm. bawa PSP yang rosak. terus terang awal2 padanya. dia ckp biasanya kalu rosak tak bule betul. aku hampir nak terduduk. tolong lah... pok arm senyap jek.

kuatkan hati, tebalkan senyum, yakinkan diri: bole betul punya.

dari rumah pok arm jam 5.30. KL waktu itu jem mcm bangsat, aku bule lupa. maka perjalanan yang boleh dikira 10 minit jaraknya jadi 3 jam. pok arm baring di belakang. senyap. aku makin cuak. dr tadi tak banyak borak. dia kata tak marah, tapi kalau aku, mesti dah terbalik segalanya. PSP dia tu, baru lagi. dem dem dem.

untuk menutup wajah yang dirobek2 rasa serba salah, aku pasang radio kuat2. menyanyi2 dan berjoget2 dalam kereta bersama pok cham. kereta di sebelah yang sama2 tak mampu bergerak melihatkan saja kami yang sewel. selama 3 jam, kami ada hampir sepuluh org yang menyaksikan sawan kami.

aku mesti pantas, kerana aku on stand-by untuk shooting malam ini.

jem itu bagaikan rumah setinggan yang telus. toleh kiri kanan ada org. tapi pedulilah. jiran2 ini tak kenal. sekadar boleh memberi pandangan jelik.

mampus kau.

sampai di BB Plaza jam 8 lebih. pergi ke kedai pertama, harga buka saja sudah RM300++. nak terjelepuk aku dengar. tapi nak buat macammana. terus tinggalkan di kedai itu untuk diperbaiki.

kami sambung berjalan. alang2 sudah membayar per entry, apa salahnya berjalan. tapi tak sejauh kepala aku yang dah terbang ke China. mana aku nak cekau duit.

tergerak aku bertanya ke satu kedai games, harga andai rosak yang sekian2. nasib aku baik. itu kedai technician game. maksudnya, kedai2 lain (seperti yang aku jumpa tadi) akan menghantar produk pada mereka. oleh itu, harga berlipat2 kerana dimakap.

aku terus kembali ke kedai tadi, ambil dan bawa ke kedai technician itu.

mereka caj aku RM 150. diskaun itu ini. aku berjanji dalam hati akan aku beli barang kat tempat kau, sebab kau baik. nengoklah. xBox ke, nintendo ke. terima kasih cina yang tiga orang ini. pandai kau ambil hati aku.

pesona pictures telefon. shooting dibatalkan.
yess!

on the way pulang, pok arm lapar. aku sedang mau pusing ke kampung baru walaupun kami sudah di KLSentral, bila E-one sms mengingatkan open house di rumahnya. semua set, kami ke cheras. makan free. haha. pizza, kfc dan kek secret recipe. best.

balik ke rumah shah tepon, ajak lepak. malas aa. dah kenyang. so shah datang lepak main PS2 dgn budak2 ni. tertido jap. jam 3 pagi budak2 nak turun bawah, kopi2. aku bangun join. minum2 smpai jam 4. naik rumah, main internet jap. tak sedar bila dah tidor.

maka aku tido tanpa kesedaran.

Tuesday, November 13, 2007

tentang penggambaran

call time yang diberi adalah jam 1, maka semalam aku bangun jam 11.30. bingkas membuka blogspot untuk menulis sedikit2. sebelum terlupa. baju yang sebakul dibasuh dengan mesin separuh automatik. itu saja aku mampu. nak beli yang mewah, rasanya belum perlu.

tiba di pesona pictures bungalow, tiada sesiapa. hmmph. seperti biasa lah. dalam jam 2 lebih kami gerak ke lokasi di GAPENA. tanpa aku terkejut, pelakon2 blonde itu bertanya, GAPENA tu apa.

sila google.

kenapa pelakon2 kita tidak suka membuat homework?
urf. sungguh bimbo.

*futnot: siapa tidak kenal aziz sattar, mari private message aku untuk aku tampar*

tiada apa perlu aku ceritakan di tulisan kali ini. kerana aku selesai penggambaran pagi tadi jam 7 pagi. sepanjang hari berlakon. itu saja. full stop. bosan.

oh, aku terlupa, tangan aku lebam biru kerana stunt. puas rasa hati melakukan sendiri. tapi itulah, agak kecewa bila ditegur "tak usahlah real. berlakon saja lah". dalam hati aku, sampai bila ya begini pelakon kita? berlakon tanpa rasa ingin menjadi karektor, sekadar berlakon.

kenapalah aku menggolong dalam sampahan ini.

kerana sepanjang hari di set, maka hari ini entrinya agak pelik. kerana aku menulis pada harinya. bukan tentang semalamnya.

aku tidur pagi tadi dgn rasa pancit.

Monday, November 12, 2007

dvd pirate yang tidak berkesudahan

bangun pagi fatin tiada. pok cham juga sudah ke kelas, mcm semalam awalnya. terpinga sebentar. rasa blur. mana smua orang? periksa telefon untuk memastikan waktu, along sms. aku tak pedulikan. dia sedang tension katanya. mau sarapan bersama. rupanya malam tadi pun ada dihantar sms mau lepak bersama aku. takpa lah. aku belum mau menatap muka kau. benci.

aku sms rasa kecewa aku padanya. ttg hidupnya yang tak tentu hala, dia cuma reply, "ok. cool".

bajingan. tak pernah peduli fikiran orang.
dasar brengsek.

aku berkonon sambung tidur, walhal tidur2 ayam. pintu terkuak. fatin masuk dengan gardenia sepapan. yeay! sarapan roti. aku suka. lazat. terus aku bangkit, ambil margerine dan toaster. duduk di bawah kabinet melayan bualan kosong pagi dengan fatin. sedapnya.

biarkan fatin main internet, aku layan dvd. tengahari tidak terik dua tiga menjak ini. maka selesa dan begitu nyaman. pok cham pulang jam 12 lebih2, terus menyambar roti. buka tv3, menonton melodi. aku benci tengok melodi sebab soalan2 provokatif yang bangang, tak ubah seperti harian metro yang direkodkan. cukup sampah. tapi aku suka melodi kerana aku mau lihat kebodohan artis2 menjawab soalan. cukup hilarius.

well, it's a love-hate relationship between me and melodi.

selesai, aku ke dapur. bikin sup pedas bayam, daging masak merah, dan sambal tempoyak. macam biasa, sedap. haha. puji diri sendiri. tp mmg lazat. aku bertuah punya tangan tercipta untuk memasak. cita2 aku ketika kecil mau menjadi surirumah. *gelak besar*

kami makan dgn lahap dan berselang seli ketawa. seronok makan beramai. aku seperti abah, tidak selera makan seorang. perut kenyang, aku beri laluan pada fatin untuk leka bersama internet. aku ambil PSP, lalu main sehingga naik stage. entah bila aku tertidur. pok cham pon tidur selepas makan. apa nak jadi.

fatin kejutkan tepat jam 5.30, untuk aku hantarkan ke lrt. jauh dalam hati, aku mau turunkan dia di depan tangga rumahnya. tapi apa mampu aku, tak berapa berduit bulan ini. lalu diam2 aku hantarkan ke KLSentral, 30 minit dr rumahku. itu yang paling aku boleh bantu. lagipun aku tidak tunaikan janji aku untuk menemannya ke rumah terbuka. maka, harap2 dia okay. dia mmg okay pun, cuma aku yg terlalu conscious.

sampai di KLSentral kami jalan2 dulu. tiada apa ada di situ. cuma selautan manusia yang terlalu laju. mahu ke sana sini. bosan. aku mmg agak benci tempat yg sesak. serabut.

tapi ada hikmahnya kami pergi situ, aku nampak pelangi petang. ada dua. cantik. aku terkesima. subhanallah.

pulang ke rumah di waktu maghrib. goreng telur, makan lebihan lauk tadi sehingga habis. kemudian aku ambil peluang melayar internet. untuk menulis ttg semalamnya di blog ini. setakat ini belum tertinggal satu hari pun. tapi tengok lah, dalam seminggu lagi, mula lah aku menyampah. nanti blog ini akan terbiar mcm yang lain.

aku cepat bosan, mungkin.

sebelum tidur, aku tonton Take The Lead, lakonan antonio banderas. cliche ttg golongan anak kelas bawahan yang marah, terlibat dgn perempuan dadah senjata. datang seorg guru untuk mengubah. kemudian terubah.

kalaulah hidup ini seindah ideologi yg tercipta.

aku pernah menjadi guru. aku sedang menjadi pensyarah.
memang kita boleh menjadi inspirasi, tapi percayalah, untuk berubah, tidak mudah.

yang cibainya, 10 minit sebelum tamat, dvd itu sangkut. maka aku tidak tahu apa penghujungnya.

terima kasih lanun dvd. pantek lu.
aku tidur dgn menyumpah2.

Sunday, November 11, 2007

tentang abang yang bukan abang.

semalam pagi aku bangkit seperti biasa. fatin bangun awal menyiapkan sarapan. pok cham sudah tiada ketika aku bangun. ke kelas sudah. rajin benar. *itu pun setelah puas ku bising jangan ponteng*

aku terasa macam seorg ibu.

dalam jam 11 pagi abang aku ketuk pintu rumah. mau pinjam kereta. dia janji mau pulangkan sebelum 1 ptg. OK. sempat. kami mau ke open house teman fatin 1.30.

tp jam sudah menunjuk jam 1 dan dia tidak juga sms. aku baran. pok cham pon sudah tamat kelas. cuba telefon sel bimbitnya. dimatikan. aku naik hantu. aku terus hubungi Ju, teman wanita pada nama ((dia punya berjuta gundik)). dan tanpa aku perlu teka, dia sdg bersama jalang yang mana aku tidak tahu.

kereta aku tah ke mana di bawa. rumah terbuka tak dapat kami pergi. itu aku sudah tidak berapa peduli. yang aku sedihkan, sampai bila darah daging aku itu akan hidup seperti najis.

perempuan, dadah, kerja tak tentu, baran, bantai perempuan, dayus, segalanya.

*diam lalu memandang jauh*
kenapa.

jam berapa tah abang aku pulangkan kereta. aku ambil kunci terus tutup pintu. jelik. katalah aku anak kurang ajar, tp kisah hidupku yang 25 tahun ini penuh dengan parut yang dia tinggalkan. pada badanku. pada mindaku. pada ketenangan ayahbonda.

petang itu pok cham pergi kelas lagi. tinggal aku dan fatin. oh ya, bersama didi yang baru pulang dari kerja. berbual2 hal perempuan. yang sebenarnya fatin dan didi yang berborak. aku cuma mencelah2, sibuk bermain rocket mania di pc. ye lah, yang dibicara itu teman universiti mereka. aku tidak kenal.

didi keluar dua jam kemudian. aku menyambung perbualan dgn fatin. ttg cinta. tentang keluarga. tentang hati. aku menambah info tentang fatin dalam pada itu. jiwa dia sgt besar. usia baru 22, tapi terbeban keterlaluan. mengingatkan aku tentang aku.

aku pun hidup terbeban. acapkali aku berkata "aku adalah perempuan 25 tahun yang paling tua dlm dunia kerana segala beban yang aku ada atas bahu" setiap kali ada yang bertanya usia aku.

sabarlah fatin.
sabarlah aku.

lepas maghrib, teman fatin ajak kopi2. aku teman sebetar. di ikano. adalah lima minit duduk, pok cham sudah sampai dari kelas. aku terus pulang untuk menjemput, niatnya. tp bila sudah bertemu, rasa malas pula untuk gerak semula keluar.

aku sedang mengeraskan hati. aku tidak mahu menjebak lagi dlm hidup komplikasi.

fatin pulang sejam kemudian. terus tidur. kepenatan nampaknya. biarlah. pok cham lapar. aku pon. capai itu ini di dapur, masakkan maggi goreng daging. resepi rekaan, seperti biasa. sedap.

makan, borak sikit2 tidur.

dlm hati, rasa mau pecah.
kenapa abang aku itu abang aku.

Saturday, November 10, 2007

graduan law-yer burok dan sampah yang berjaya.

aku tonton "the illusionist". dan aku suka gila babi satu baris ayat si hero kepada sang cif polis:
"are you completely corrupted?"

ha-ha. gila la. cuba kamu bayang kamu tempiaskan soalan ini kepada seorang pelaksana undang2. kah kah. kelakar.

okay. pagi semalam aku bangun lewat lagi. jam 12.30 tgh hari. bersiap terus kerana mau shooting jam 3. namun ditunda dlm sejam sebelum aku gerak ke produksi. great. aku ke tesco beli barang makanan basah.

fatin akan dtg malam ini. pok cham akan jemput dia di lrt, memandangkan aku sibuk di lokasi hingga lewat malam. mereka akan lepak di rumah aku, esok kami ke rumah terbuka teman fatin. makan free. haha.

shooting ok. cuma aku dah bosan. hati tak penuh untuk berlakon. aku tidak berminat. aku benci hidup kaca tv dan layar perak. maka beberapa jam itu aku agak perit untuk menamatkan scenes. dapat pula lead actress berlakon macam kayu, tak reti beri chemistry.

tamat sesi rolling itu, dalam tengah malam lewat sedikit, aku pulang ke rumah yang sudah ada teman dua org. lepak tak sampai 15 minit, pok arm telefon mengajak lepak. roger that. pok arm bawa kemal dan teman kemal. ini kali kedua aku jumpa kemal. dia kool. kawannya tidak. kawannya perempuan.

sang kawan perempuan itu baru grad jurusan undang2. belum bekerja. belum ada apa2. cuma kertas mengatakan dia graduan universiti teknologi mara. okay. bukan universiti List A pon, jgn mara teman2 UiTM, ada kalangan anda yang hebat, tapi gadis yang satu ini benar2 menjengkelkan.

mungkin kerana aku, fatin dan cham datang dgn baju tidur, ke Rasta TTDI, tempat konon2 hebat kerana makanannya yang mahal tak setimpal dgn rasa yang tak sedap. kami nampak selekeh, mungkin. nampak tidak berpelajaran.

lalu aku tanya beliau, "tak kerja? oh. sdg tunggu bar council kah?" ((futnot: graduan law mesti melalui chambering untuk bergelar lawyer. aku bukan tahu sgt, tp tiga org saudara anak pok long adalah majistret, maka aku tak bodoh))

dia menjawab: "tidak, perlu ada professional degree baru boleh. "(memandang saya dgn muka: kau faham ke apa aku katakan. tu lah, lainkali belajar. tengok aku).

saya bertanya lagi dgn lebih slow tone nya, takut dituduh menyibuk: "oh. itu pertama kali saya dengar --"

"memang. hanya UiTM yang begini. lebih bagus, bla bla bla" (sambil memerhati gaya selekeh kami, berbanding dress sendat beliau yang di padankan dengan tudung tanpa scarf, menampakkan telinga dan rambut2 nya. apa makna dia bertudung pon, aku tak pasti)

dalam hati saya terus pangkah perempuan ini. difikir aku perempuan bodoh rupanya. aku teruskan aja bualan. biarkan dia dgn dunianya yang dirasa hebat. umur 24 baru grad. kerja belum ada. cuma kertas. bosan.

entah bagaimana, pok arm bercerita ttg kerjaya aku. pensyarah universiti kerajaan, antarabangsa pula. selain aku sambilan menjadi performer, seni aku dihargai, sebagainya.

dan tiba2 wajahnya berubah, dan dia tidak mahu percaya. terus sehingga pulang, aku lihat dia tidak bercakap2 seperti awalnya.

kami bertiga pulang mlm tadi dgn rasa bangga. kami bukan sampah. kami cuma selesa berpakaian tidak seperti orang lain.

Friday, November 9, 2007

sedikit tengkar, kenduri bunda dan anak luar nikah.

aku bangun semalam tanpa plan untuk ke mana2. sefaham aku, semalam aku akan mula shooting kembali. setelah aku telefon sana sini, penggambaran dibatalkan.

yes!!!
*pause*

dem!!!
tadek plan pulak.

aku tanpa plan membuka internet. mencari apa yang boleh aku bikin. ym blinking. ada teman2 RANtai mengingatkan tentang rumah terbuka Chapit dan Uben di Setiawangsa, juga Azim di Puchong. Cantik. Makan free. Jimat duit.

tiba2 teringat khamis mlm jumaat ada tahlil aku dan along combine duit, dibuat di masjid kawasan rumah aku. untuk arwah mak. mulanya aku tak bule pergi kerana shooting. sekarang aku buleh. jadi rumah azim tak payah pergi lah.

sebelum smpai ke rumah setiawangsa, aku bergaduh kecil dgn seorg kawan. aku rasa dia teman paling rapat buat ketika ini. lebih rapat dari teman lelaki aku yang sentiasa busy dgn kerja, yang selalu beralasan setiap masa, namun yang sayang aku tanpa ragu.

kawan aku ini sudah terlalu erat dgn aku, yang mana telah aku terbitkan sayang dlm hati. maka dgn sedikit tengkar kecil, hati sudah mula pedih dan terhiris. perbalahan dibiarkan tergantung. kami dua-dua tersiat hatinya.

aku sudah tidak mahu ke rumah terbuka mana2. tapi setelah bersms sama fad, aku touch up makeup di wajah yang tercela kerana air mata. aku memang gembeng, kuat menangis di belakang orang. pergi ke sana aku ketawa mengilai bergurai melompat, segalanya. tapi hati aku rasa macam peha yang terkena puntung rokok yang masih berbara.

kuatkan semangat, teruskan lakonan gelak tawa. selesai, dlm jam 6, aku menjemput teman lelaki aku yang bernama amy. kebetulan dia juga cuti. susah benar kami bertemu. dlm sebulan, mungkin sekali. itu pun kalau nasib kami baik. entah lah.

perjalanan ke masjid arah rumahku mengambil masa setengah jam. cukuplah untuk kami bualkan apa yang sempat. indah. tp ada masa aku terasa jauh hati kerana terlalu lama ditinggal. biar lah.

sampai di masjid, yaasin dibaca. doa2 tahlil buat bunda. nak diharapkan anak2, semua macam syaitan. ini saja lah yang kami mampu buat masa ini. insya Allah, aku mau mengubah semua ini. sabar ya Mak. Abah, kami akan jadi anak yg baik juga. Ibu, terima kasih bertahan dgn anak2 tirimu ini.

selesai makan nasi ayam merah, sambal petai, tempe goreng dan nescafe ais, kami ziarah rumah adik saudara aku di kawasan sekitar. dia punya seorang anak luar nikah. itu lantak lah. yang aku marah, sampai sekarang masih tak insaf. kasihan sang anak. dia nampak mcm budak yg tak cukup zat. kepala besar, anggota tangan dan kaki kecil. sebak aku lihatkan.

aku hantar amy pulang sebaik itu, kemudian singgah ke ikano untuk bertemu arm dan cham. kopi2 sampai 2.30 pagi. kemudian pulang. ribut seperti biasa, mula pada waktu ini. Tuhan, sudah mahu khatam kah dunia kamu ini? jgn kamu murkakan kami yang lali ini, sayang. kami sedang mencuba.

sebelum tidur aku pastikan teman baik aku itu sudah tidak marah. apa yang dikatakan pada aku tgh hari itu aku lupakan. sukahati lah. kami berbaik, dan aku rasa lega. terima kasih.

kemudian aku tidur, dgn rasa ingin bangun dlm dunia yang lebih bahagia.

Thursday, November 8, 2007

tilam kosong dan realiti.

aku bangun pagi semalam dengan rasa sebal. kawan2 sudah mula mau pulang ke realiti. bertemu taulan yang lain, mengutip sisa2 hari yang terabai selama di rumah aku di damansara.

secara pentingkan diri sendirinya, aku sedih. tak tahu sedih pasal apa sebenarnya.

a) mereka pulang, maka aku tidak berteman lagi di sini.
b) mereka pulang, aku tidak punya orang lain utk sama2 tidak matang. jadi aku bukan freak.
c) mereka pulang, aku akan kembali menangis di jamban kerana terasa loser.

sengaja aku lambat2kan perkara. dan aku nampak mereka pon sama. alasan itu ini. konon2 itu ini. aku tak tegur kerana aku suka. terima kasih kawan2 kerana begitu sayang pada aku.

akhirnya kami keluar dari rumah jam sepuluh mlm. haha.

bagus juga mereka pulang. wang aku mmg sudah habis kosong. tak sampai hati pula aku nak biar kawan2 lepak di rumah yang tak bermakanan. seminggu ini aku melantik diri sendiri jadi mak dan kakak mereka. masak, basuh baju. tp mereka bagus. mereka kemas rumah. dan bila keluar berjalan2, aku jadi adik mereka. give and take. beri dan ambil.

cheque yang aku terima dr talent management nampaknya tak approve. antara cek itu palsu, duit mereka dah kosong, atau mereka saja palangkan duit aku. sukati korg lah. harap2 rezeki tetamu masih tersisa, tuhan terus beri aku lubang untuk makan.

hantar mereka ke rumah pok arm di Sentul. dia muat turun game baru di PSP beliau yang diberi pinjam pada aku. dua kali bertukar game, sbb aku tak minat permainan yang beriya2. aku kalau boleh nak game Mario Bros., Ice Climber, Donkey Kong, Karateka atau Duck Hunt paling kurang pon. kenapa bila aku pergi ke kedai game, mereka gelak kow2 kat aku? salah ke aku suka game yang begitu?

Habis downloading, kami ke Kampung Baru. pok arm mau bertemu appointment pertamanya: jam 1 pagi. seharusnya kami sekadar menghantar, tapi agak menarik untuk terus melepak di luar dgn lebih ramai manusia. kembang sikit otak, walaupon balik2 hal yang sama dibualkan: bola, kerja, perempuan, phone canggih, laptop murah, slr gempak.

jam dua lebih gerak pulang. perjalanan pulang, anak ribut meneman aku ke rumah. terpaksa lalu tol utk mengelak banjir kilat. takut. kalu jadi apa2, aku takde kredit.

sampai rumah, dengan tidak membasuh mekap, aku tidur. terjaga dua tiga kali, melihat tempat kawan2 aku tidur sejak minggu lepas. kosong. aku sebak tanpa fasal yang kukuh.

selamat tidur, kawan2, di mana aja bantal kamu malam ini.
selamat kembali ke realiti.

Wednesday, November 7, 2007

putrajaya, fotografi dan ketenangan sesedut.

bangun pagi cepat sbb nak minta sedekah kat talent manager aku. kelakar. aku bayar komisyen 30 percent dr hasil job aku, aku pula yg kena takut pada mereka. sial. aku diperguna mcm kerbau membajak.

dapat la gak. walaupon wang aku dipotong sana sini, konon potongan itu ini. sukatila. ambik, silakan. yang penting aku tak hingin nak terus berada dlm dunia mainstream ni. lagi cepat settle shooting, lagi pantas aku terbang jauh. terima kasih kerana sudi cilok duit aku. wang aku bangun tiap2 sahur, balik tiap2 dua jam sebelum sahur, kadang2 rolling satu hari terus. terima kasih kerana mengajar aku ertiperkataan songlap.

next phase hari ini, aku mengajak teman dua ekor membetulkan skuter abang aku yang dah barai. hancur lagi duit aku. mmg perangai dia yang suka mengopak wang org, abang aku mengajak ke cyberjaya tpt beliau bekerja. dijanjikan rm100 untuk aku claim. *harga smua yang pernah aku bayar mencecah rm300. serat pon jadik la.

kami terbang ke putrajaya awal mlm tadi. tak jadi di cyber sbb dia jumpa kawan. jumpa abang, dpt sekadar rm50, layan sepam *sbb dia kedekut*, kami gerak ke dataran putrajaya utk bergambar.

pok arm mmg hebat dlm fotografi, walaupon baru tiga pat bulan memiliki joni *nama D70 beliau yang aku beri: terima kasih Pok Arm*. gambar kami berlambak2 dan kelakar. gambar yang sudah pasti akan mengundang tangis dan ketawa dlm masa yang sama.

ketawa: aku bahagia dan beruntung punya sahabat spt pok arm dan pok cham.
tangis: ntah bila2 persahabatan kami akan menjauh. faktor kahwin, kematian, sebagainya.

skarang syaitan2 itu sdg melayan DVD. sudah pulang dari tadi, selepas singgah kudapan di A&W. aku pula masih menulis. mau tidur dlm sekejapan.

terima kasih kerana persahabatan ini begitu membahagiakan.

Monday, November 5, 2007

tentang kawan2

sesungguhnya aku seronok dgn adanya kawan2 di rumah. melepak dan bermain PS2 dan PSP mcm org tadek masa depan. layan DVD sambil main internet. gurau2 mcm sekolah menengah.

aku rasa bole tahan syukur la. smua ni aku punya, atas nama aku, walau pon sakit gek nak idop kat KL sorang2 tanpa bantuan finance mak bapak. puas.

kami lepak macam budak2 tipikal kat londri bar tuari, yang beriya2 dan rupa macam takde minat nak idop panjang. kelakar, sebab yg melepak kat umah ni smua ada degree belaka. aku dgn keadaan sedang mengejar master. apa nak jadi.

sebut ttg londri bar, aku naik menyampah sbb aku rasa mcm siyal jek smua org nak berkampung kat tpt aku jumpa kawan2 gig. sorg kawan aku ckp "blame it on Kami".

betul la tu. smua org poyo nak meng'indie' kan diri. aku pon poyo sbb nak hangin. siapa aku? lantak derang la. tp aku meluat. smua org tiba2 hebat. aku tak ckp pasal smua yg datang. fokus aku adalah mereka2 yg rasa diri maha kuasa bila minum todi bajingan depan2 org, pastu nak duduk sebelah aku.

maaf. aku tak minum. aku benci bau kau. *agak kelakar sbb entry ini kelihatan agakmerujuk pada Lidah: blogger kesayangan, merangkap kawan baik, juga junior yang rapat dgn aku*

aku pendekkan; gi la konsert jom heboh kalu stakat nak borak2 najis.

futnot: aku kedengaran sangat yuppies dan poyo. patut aku pedulikan dan sokong sbb teman2 rapatku Hujan dah melangkah mainstream. tp tah la. aku dtg dari dunia indie yang sudah melangkah ke mainstream. dan skarang aku berpatah arang. tak mahu dan tak kalih.

topik berikutan: apa yang aku lakukan semalam. kerana itu objektif PuisiTepiJalan.

bangun pagi dgn demam yang teruk *setelah bergila2an bermain futsal*. teman sekolah menengah tinggi mengajak pergi ke rumah terbuka teman yang satu lagi. aku tidak tegar, wang di poket sgt sedikit, nilai kredit aku tak mahu usik. tapi setelah dipujuk, aku gagahkan kaki dan kudrat.

itu pon setelah dengan rasa rendah dirinya meminta izin kawan2 yang melepak di rumah utk dibiarkan sementara. sialan. mereka tetamu dan aku harus melayan. malu benar aku.

yang kelakarnya, setelah siap segala, mereka telefon mengatakan tak jadi. tanpa kesal. tanpa segan. dan aku ditegur kerana tidak mau pergi sendiri.

futnot: and i say WHAT!!!

aku rasa mcm najis sbb aku rasa tak bermakna. kalau aku flipped out dan marah, aku akan dibenci kerana emosi. kalu aku diam, mereka akan suka dan kata aku cool.

seperti biasa aku memilih jalan kedua. bukan sbb kool, tapi sbb aku dah puas dibenci orang kerana akal poetku yang keras bersuara.

sabar. itu yang aku tekankan dlm hati. tapi kawan2 dua ekor di rumah berkeras mengatakan aku terlalu berlembut. tah la.

untuk membahagiakan aku, kami ke tesco bertiga. pulang ke rumah, main PS2 dgn game yang dibeli. selesai, masak.

satu ttg aku, masakan aku dipengaruhi dgn perasaan. jd smlm aku rasa biasa aja lauk asam pedas ikan pari aku. dem.

sebelum aku tidur, sekor lagi setan datang bertandang. dah dua bulan aku tidak berprofession sebagai pensyarah. cuti panjang utk beri laluan pada lakonan. maka aku mmg tidak berduit sekarang. makan pon bercatu. tambahan pula dengan kawan2 kat rumah ni. tapi aku suka ada org di rumah. rezeki itu sentiasa ada. rumah yang banyak kunjungan takkan putus rezekinya, itu aku percaya. walau sekadar makan telur dadar dgn kicap, kami ketawa2 sama. yang penting tidak lapar.

dengan itu, aku tidur dgn tenang dan senyuman.

Sunday, November 4, 2007

i am telling you something.

aku rasa trend kawan2 aku skang, bikin blog jurnal. tulisan tentang hari2 yang berlalu. 'dulikan kalau pun tidak relevan. sekadar menulis. asal menulis.

bagus. makin ramai yang terjebak dgn blogging. aku dah ketagihan sejak bertahun2 lalu.

orang kata blogging *yang gila2 update aktiviti harian* ni utk org yg sunyi. blogging menjadi tempat melampias alter ego mereka.

*hmmph: semakin ramai yang memerlukan therapist*

maka aku ciptakan "fynn is telling you something" untuk menjadi cermin kejadian yang aku lalui sehari2. mustahil utk aku janjikan update yang daily, tapi tengoklah.

bismillah; entry pertama adalah di bawah ini:

bangun di pagi hari semalam. tanpa objektif. senyum melihat kawan dua ekor berkampung di rumah. kami bertiga sedang menganggur macam sekumpulan anak2 orang kaya dalam filem knocked up yang sangat butoh bodoh dan bangang dari segi plot.

futnot: maaf, aku agak benci manusia bangang dan tak berotak.

semakin tengah hari, aku mulakan kerja editing video raya teman2 kecy yang diadakan di rumah aku sabtu lepas. editing yang tidak maha hebat. hanya menggabung slide2 yang wujud dan tercipta ketika open house kecilan aku itu.

sudah siap, dan bisa ditonton di youtube.

mlm datang, teman2 kecy berkumpul di hartamas utk Manchester United vs Arsenal. Jujurnya, aku sumpah tak minat dan peduli. maka ketika semua manusia berhimpit di sebelah kanan meja untuk menonton bola yang sebiji itu dikejar unuk disepak semula, aku satu2nya insan yang berada di sebelah kiri, sambil mengeja papan2 tanda di kawasan itu.

ada 6 papan tanda berwarna merah, 2 berwarna kuning, satu berwarna ungu, satu lagi aku tak tahu warna apa. terlalu serabut.

selesai, berkejar ke sport planet di pj utk futsal. ketagihan. aku suka sekali. tak tergambar. terasa begitu sihat dan gagah. aku mmg suka nampak strong, sbb aku sbnrnya terhancurkan di dalam.

penutupan adalah di Murni SS2. Makan roti daging. indah. good food, good friends. cukup. aku tak perlu benda lain.

aku tak rasa kalian berminat dgn rapikan pertama ini. but whutdahell.